salam perkenalan


Khamis, 31 Disember 2009

TIADA RUANG BERBUAT MAKSIAT


Seorang lelaki bernama Abu Zayed berjumpa dengan Ibrahim bin Adham bagi mengadu masalahnya. Katanya dia sukar mengelakkan dirinya daripada melakukan dosa. Dia sering terjebak dengan maksiat.
Mendengar keluhan itu, Ibrahim menjemput Abu Zayed ke dalam rumah. Beliau berkata “Apabila saudara bersedia menerima lima syarat dan dapat melaksanakannya, saudara boleh terus melakukan maksiat.”
Abu Zayed ternganga sambil berkata, “Ya Ibrahim, adakah benar begitu?Apakah syarat-syaratnya?”
Ibrahim mempelawanya duduk. Kemudian berkata, “Pertama, saudara tidak boleh makan rezeki pemberian Allah sekiranya mahu melakukan maksiat.”
Sambil menggaru-garu kepala, Abu Zayed berkata, “Mana mungkin. Semua yang ada di bumi ini adalah rezeki Allah!”
Lalu Ibrahim berkata lagi,”Bagus kerana saudara mengetahuinya. Adakah saudara fikir saudara layak memakan rezekinya sedangkan saudara terus melakukan maksiat?”
Abu Zayed diam seketika, kemudian bertanyakan syarat kedua.
“Syarat kedua, saudara tidak boleh tinggal di bumi ini apabila kamu berniat mahu melakukan maksiat!”tegas Ibrahim sambil memandang Abu Zayed.
Tersentak Abu Zayed mendengarnya.Dia berkata ,“Tidak mungkin,kerana seluruh bumi dan isinya adalah milik Allah.”
Ibrahim berkata lagi,”Apakah saudara layak tinggal di bumi apabila terus melakukan maksiat?”
Abu Zayed terdiam dan bertanyakan syarat ketiga.
Ibrahim pun menjawab, “Apabila saudara terus berbuat maksiat, mahu makan rezekinya, tinggal di buminya, carilah tempat yang tidak dapat dilihat olehnya.”
Abu Zayed terkejut, kemudian berkata, “Tidak mungkin, kerana Allah sentiasa melihat walau di mana kita bersembunyi. Adakah kita sanggup melakukan maksiat di depannya?”
“Baguslah saudara tahu semua itu. Lalu, adakah saudara masih berniat mahu melakukan maksiat?”tanya Ibrahim.
Abu Zayed terdiam. Dia menarik nafas panjang kerana ruang bagi melakukan maksiat sememangnya tertutup. Tetapi dia masih belum berpuas hati.
Abu Zayed bertanya lagi, “Jika begitu, baiklah.Apakah syarat keempat?”
“Syarat keempat, apabila malaikat mahu mencabut nyawamu, minta kepadanya supaya menangguhkannya kerana saudara bercadang untuk bertaubat dan beramal soleh,”kata Ibrahim.
Sebaik sahaja mendengar kata-kata Ibrahim, Abu Zayed menepuk dahi sambil berkata, “Tidak mungkin, wahai Ibrahim. Bukankah ajal maut tidak mungkin ditunda walaupun sesaat?”
Dia termenung seketika lalu bertanya, “Apakah syarat kelima pula?”
“Syarat terakhir, apabila Malaikat Zabaniyah menjemputmu untuk di bawa ke neraka pada hari kiamat, saudara jangan ikut kemahuannya!” kata Ibrahim.
Abu Zayed segera menjawab,“Saya tidak mungkin mampu menolaknya.”
“Jika begitu, apakah alasan yang dapat menyelamatkan diri saudara?”
Tanpa disangka, Abu Zayed menangis dan menyesal atas segala perbuatan buruknya. Dia berkata kepada Ibrahim, “Mulai saat ini, saya memohon ampun pada Allah dan bertaubat nasuha. Saya berjanji tidak akan melakukan maksiat lagi. Saya malu kepada Allah.”

Sumber:31 KOLEKSI KISAH TELADAN UNTUK REMAJA
MOHD NASRUDDIN DASUKI

Coretan penulis.
Tahun baru beberapa jam lagi akan menjengah tiba. Fenomena maksiat pasti akan berlaku di sana sini, di atas muka bumi Allah. Adakah kita mahu mengisi ambang 2010 ini, dengan bertahmid dan bertahlil memuji Allah ataupun melakukan maksiat hasil godaan syaitan laknatullah? Adakah kita layak mendiami bumi Allah sedangkan hati kita masih di penuhi maksiat kepada Allah? Diharapkan coretan ini dapat memberi pengajaran kepada pembaca.
LU PIKIQ LA SENDIRI.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Search