salam perkenalan


Khamis, 31 Disember 2009

BAHAGIAN DUA:BICARA TOKOH


Zaman khalifah Umar Abdul Aziz adalah berbeza tidak seperti zaman khalifah sebelumnya di mana masyarakat waktu itu sering membicarakan tentang pembangunan material dan keseronokan sesuai dengan kegemaran pemerintahan ketika itu.
Pada zaman khalifah Umar,masyarakat tidak lagi leka dengan kecenderungan maksiat tetapi kegiatan penduduk lebih terarah kepada kerja amal, memenuhi masjid dan pusat-pusat pengajian untuk mendalami ajaran agama serta menghiasi kehidupan harian dengan beribadah.
Pada waktu itu situasi orang berkumpul dan saling bertanya tentang doa-doa yang dipohon adalah lumrah.Mereka menjadikan pembacaan dan hafalan al-Quran serta berpuasa pada setiap bulan sebagai santapan rohani dan rutin.
Cahaya penyuluh yang terpancar itu telah meletakkan Islam di landasan yang sepatutnya,malah terus bersinar pada segenap lapisan selain berusaha untuk menghakis kegiatan segelintir penduduk yang masih tertanam oleh gaya hidup serta kemaksiatan peninggalan zaman sebelumnya.
Namun ada saki baki penduduk yang telah sebati dengan perlakuan sumbang dan maksiat itu merasa iri hati serta mendendami terhadap khalifah Umar yang telah memusnahkan segala kecenderungan mereka dan menutup peluang-peluang mereka untuk mengumpul harta kekayaan pada jalan yang haram seperti rasuah, perjudian dan sebagainya.
Demikian juga dasar khalifah Umar terhadap puak syiah. Jika sebelumnya peribadi Sayidina Ali selalu di caci dalam khutbah tetapi pada zaman beliau, Khalifah Umar Abdul Aziz telah menggantikan celaan itu dengan ayat al-Quran surah an-Nahlu ayat 90 yang bemaksud.”Sesungguhnya Allah menyuruh mengerjakan keadilan dan kebajikan serta memberi kaum kerabat serta Dia melarang perbuatan yang keji, mungkar dan aniaya.Moga-moga kamu mengambil ingatan.”
Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mengatakan ; “Saya mengingatkan kamu tentang malapetaka yang menimpa kamu sekiranya kamu tidak menuruti al-Quran. Pertumpahan darah dan huru-hara, kekacauan dan penderitaan yang kamu hadapi kerana tidak mengendahkan panduan yang diberikan oleh kitab perlulah direnungi. Oleh itu kamu harus berhenti daripada apa yang dilarang Tuhan dalam kitab-Nya kerana tidak ada apa yang lebih menakutkan daripada peringatan Allah Yang Maha Berkuasa.”
Demikian kita menyaksikan sebutir bintang mengerdip di tengah kelam, pada masa orang ramai kecewa dengan institusi khalifah dan sistem pemerintahan ketika itu. Umar Abdul Aziz muncul memberi semangat dan jiwa baru.Reformasi dan pembaharuan yang dilakukan olehnya tidak menyenangkan sebilangan kecil kerabatnya sendiri apatah lagi musuh-musuhnya sendiri yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memusnahkannya.
Setelah lebih dua tahun pemerintahannya, iaitu dalam usia 39 tahun beliau telah diracun dan kematiannya bukan sahaja telah diratapi oleh rakyat malah mengejutkan maharaja Rom yang begitu kagum dengan peribadi beliau sehingga maharaja Rom pernah menyatakan: “Aku tidaklah terkejut jika seorang rahib membuang dunia lalu menyibukkan dirinya dengan beribadat di belakang tabir ,tetapi aku sungguh kagum dengan Umar yang memiliki empayar besar dalam genggamannya tetapi menolaknya dan hidup sebagai rahib.”

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ARTIKEL MANTAP!

Catat Ulasan

Search