salam perkenalan


Isnin, 4 Januari 2010

DUNIA YANG KIAN SEBAK

M ENDUNG KELABU

O BORNYA RIBUT

H ATINYA GURUH

A SAKAN MINDA SERABUT

M AKAR DUNIA BERTARUH

M EMBINA KEAMANAN

A SMARA KECINTAAN

D I TEDUHAN KEMANUSIAAN.


S UARA LANGIT SURAM BERGEMPITA

A LIRAN DARAH PANCUTAN DERITA

Y ANG BERGOLAK

U NTAI BERSORAK

T INTA KEDAMAIAN YANG KIAN RABAK

I NILAH DUNIA YANG KIAN SEBAK.


Baca selanjutnya......

Sabtu, 2 Januari 2010

SEKENTAL JIWA IBU


J iwamu sekental Sumaiyyah
A kur pada dugaan terentang
M engharap cinta dari Tuhan
A ntara rela dan paksa
R uang keadilan engkau pertahankan
I ndah pekerti engkau sematkan
A zimat kasih jadi pedoman
H iliran keringat bukti kekentalan.

J auhkau merenung detik zaman
U sai waktu berlalu pergi
S uratan dunia menta hambatan
O bor semangat nyala berapi
H ala tujumu ukhrawi abadi.

Sajak ini didedikasikan buat bonda tersayang yang sanggup mencantum keringat dan ketabahan demi membesarkan anak-anak tercinta. Kasih dan pengorbananmu bertunjangkan kekuatan jiwamu dalam mengharung onak dunia.


Baca selanjutnya......

SUARA KEDAMAIAN



TANGAN YANG BERKUASA
BISA MENGHANCURKAN DUNIA
KERANA KETAMAKAN
DAN DENDAM BERMAHARAJALELA
SI KECIL TAK BERDOSA
MERATAP DERITA.


MERPATI PUTIH
TAK TERBANG LAGI
DI LANGIT BERGULUNG PETAKA
AWANAN HITAM BERDUKA
PERANG MEMBUNUH SEGALA
IBU YANG TIDAK BERDAYA
DAN SI TUA TAK BERMAYA
SAYAP KETIDAKADILAN
MEMBAKAR KEAMANAN
KUKU KEZALIMAN MENCENGKAM
TIAP RUANG ALAM.

SERANGAN DAN KEGANASAN
MENENGGELAMKAN SUARA DAMAI
DARAH BERUBAH TINTA
BENCI MENGHILANG CINTA
DALAM SETIAP PERJALANAN
KECINTAAN KEMANUSIAAN.

DALAM DOA TAHUN BARU
SEORANG IBU BERSERU
“YA ALLAH, YA TUHANKU
SELAMATKANLAH DUNIA
DARIPADA PETAKA MANUSIA
YANG TAMAK DAN HALOBA”

Baca selanjutnya......

PENGORBANAN SEORANG AYAH


I nilah pengorbanan murni
D i celahan kemelut berduri
R entet mencalit tinta keringat
I ndah menggarap sisa semangat
S etia mencantum cebisan azimat.

A ntara igauan seteru kenyataan
B ukan bisa engkau menduga
D aunan kehidupan luruh berguguran
U ntaian kasih insan tercinta
L estari canangan keluarga bahagia.

S embilu tajam tertusuk di jiwa
A ksara cinta kau cantumkan
M emoir indah tersemat di atma
A staka syurga kau binakan
T autan pengorbananmu mekar sentiasa.


Sajak ini didedikasikan buat ayahanda tersayang yang banyak melakukan pengorbanan iaitu IDRIS BIN ABDUL SAMAT. Beliau sangat menyayangi anak-anaknya dan kasihnya tiada galang ganti. Kami sentiasa mendoakan kebahagiannya di dunia dan akhirat.




Baca selanjutnya......

Jumaat, 1 Januari 2010

RAFI YANG JUJUR



Pada zaman dahulu, diceritakan terdapat seorang raja yang bernama Raja Azman. Baginda sudah tua tetapi tidak mempunyai anak. Pada suatu hari Raja Azman berfikir, "Jika beta meninggal, siapakah yang akan menggantikan beta menjadi raja negeri ini?”

Setelah lama berfikir, akhirnya Raja Azman mendapat idea. Baginda ingin memilih putera mahkotanya dari kalangan kanak-kanak di negeri baginda. Calon pengganti Raja Azman. Cara Raja Azman memilih calon putera mahkotanya ternyata sungguh mudah. Baginda memberi sebutir benih bunga kepada setiap budak lelaki yang terdapat di dalam negerinya. Benih itu harus ditanam. Bunga siapa yang tumbuh dan berkembang paling cantik, dialah yang akan terpilih sebagai calon putera mahkotanya, bakal pengganti raja pemerintah kerajaan negeri.

Tersebutlah kisah di dalam negeri tersebut ada seorang budak lelaki yang bernama Rafi. Dia juga membawa pulang sebutir benih bunga. Dia menanamnya di dalam pasu bunga. Setiap hari, dia menyirami benih bunga tersebut. Rafi sangat berharap agar benih bunga itu segera bertunas dan mengeluarkan bunga yang cantik lagi indah dipandangan mata raja. Tetapi hari demi hari berlalu, tidak ada satu tunas atau pokok pun yang tumbuh di dalam pasu bunga itu. Rafi sangat cemas. Dia segera menggali keluar benih bunga itu dari dalam pasu. Kemudian menanamnya lagi di dalam pasu bunga itu setelah menukarkan tanah yang baru.

Dua bulan pun berlalu. Telah tiba waktunya bagi Raja Azman menilai pekerjaan kanak-kanak yang telah diberikannya benih dahulu. Namun, pasu bunga Rafi tetap kosong. Tidak ada sebarang tunas yang tumbuh. Hari itu, semua kanak-kanak di negeri itu berkumpul di hadapan istana. Tangan masing-masing memegang pasu bunga. Ada yang berisi bunga merah, kuning dan sebagainya. Semuanya kelihatan berkembang cantik dan indah di pandangan mata. Sukar untuk menentukan bunga siapa yang paling cantik.

Raja Azman melihat bunga-bunga yang cantik itu. Tetapi aneh, wajah Raja Azman kelihatan berkerut. Sepatah kata pun tidak diucapkannya. Raja Azman berjalan terus. Tiba-tiba Raja Azman melihat Rafi yang memegang pasu kosong. Rafi menundukkan kepala. Dia kelihatan sedih sekali. Raja Azman segera menghampirinya, “Nak, kenapa kamu memegang pasu bunga yang kosong?”

Seketika Rafi menangis dan berkata, “Patik….patik telah menanam benih bunga ini di dalam pasu. Setiap hari patik siram dengan air. Tetapi benih ini tetap juga tidak mahu bertunas. Kerana itu, patik…patik hanya mampu memegang pasu bunga yang kosong ini..”

Mendengar penjelasan itu, Raja Azman ketawa terbahak-bahak. “Ha…ha…ha.., inilah anak yang jujur dan sesuai untuk menjadi raja di negeri ini. Kamulah yang terpilih untuk menjadi calon raja!”

Rupa-rupanya benih yang diberikan telah digoreng terlebih dahulu supaya tidak akan bertunas. Dengan cara ini Raja Azman yang bijak dapat menentukan kanak-kanak yang jujur dan menjadi pengganti baginda kelak.

Ulasan penulis:
Cerita ini hanyalah rekaan semat-mata namun apa yang ingin dipaparkan di sini ialah kejujuran akan dapat menjadikan seseorang itu mulia.Usahlah kerana berkehendakkan sesuatu kita menolak jauh sifat jujur.Adakah kita seorang yang jujur dengan semua orang?

LU PIKIQ LA SENDIRI

Baca selanjutnya......

TAUBAT PEMUDA NAKAL


PADA ZAMAN NABI ISA, terdapat pemuda nakal bernama Qasar. Perbuatan Qasar yang suka menutup air, mengotori dan meludahi air tidak disukai oleh penduduk kampungnya.
Oleh itu, penduduk kampung mengadu kepada Nabi Isa mendoakan supaya pemuda nakal itu tidak kembali ke kampung mereka. Pada suatu hari, semasa Nabi Isa berjalan di kampung itu, seorang penduduk berjumpa beliau dan berkata, “Wahai Isa, kami memohon pertolonganmu. Doakan supaya pemuda nakal itu tidak lagi melakukan perbuatan yang membuatkan kami marah kepadanya.”
Mendengar aduan itu, Nabi Isa segera berdoa, “Ya Allah. Utuskan seekor ular supaya budak nakal itu tidak kembali lagi.”
Pada hari itu, Qasar mahu menutup air. Sebaik sahaja dia menutup air, seorang ahli ibadah datang dan bertanyakan sesuatu kepadanya, “Wahai anak muda, bungkusan apakah yang kamu bawa? Saya terbau makanan yang enak. Bolehkan kamu berikan sedikit kepada saya?”
“Saya membawa roti. Sekiranya tuan mahu, saya berikan sekeping,” jawab Qasar. Dia pun memberikan sekeping roti kepada ahli ibadah itu. Selepas memakannya, ahli ibadah itu berdoa, “Semoga Allah mengampuni dosa-dosamu dan membersihkan hatimu.”
Kemudian Qasar memberinya sekeping roti lagi. Ahli ibadah itu berdoa, “Semoga Allah mengampunkan dosa-dosamu yang lalu dan yang akan datang.” Qasar memberi lagi sekeping roti dan ahli ibadah itu terus berdoa, “Semoga Allah memberikanmu istana di dalam syurga.”
Selepas itu, Qasar pun pulang ke kampungnya. Sebaik sahaja tiba, dia dibawa berjumpa dengan Nabi Isa. Nabi Isa pun bertanya, “Wahai Qasar, apakah kebaikan yang kamu lakukan pada hari ini?”
Qasar terus menceritakan peristiwa yang berlaku kepadanya sebelum pulang ke kampungnya. Nabi Isa tidak berpuas hati lalu meminta bungkusan yang dibawa oleh Qasar. Apabila Nabi Isa membukanya kelihatan seekor ular hitam yang diikat.
Nabi Isa bertanya kepada ular itu, “Wahai ular, aku memerintahkanmu mematuk orang ini. Mengapa kamu tidak melakukannya?”
Kemudian ular hitam itupun menjawab, “Sebelum sempat aku mematuknya, seorang ahli ibadah datang meminta makanan dan Qasar memberikannya. Ahli ibadah itu mendoakannya dan malaikat mengaminkannya. Kemudian Allah mengutus malaikat mengikat aku dengan tali daripada besi.”
Sebaik sahaja mendengar penjelasan ular itu, Nabi Isa berkata kepada Qasar, “Wahai Qasar, mulai sekarang bertaubatlah kamu kepada Allah dan berbuat baiklah sesama manusia. Allah sudah mengampuni dosa-dosa kamu.”
Qasar segera menjawab, “Wahai Isa, mulai sekarang, saya berjanji untuk berbuat baik dan melakukan perintah Allah. Saya bertaubat daripada melakukan kelakuan buruk yang saya lakukan.


Sumber:31 KOLEKSI KISAH TELADAN UNTUK REMAJA
MOHD NASRUDDIN DASUKI

Coretan penulis.
Rahsia Allah begitu luas. Hidayah Allah hadir melalui pelbagai cara dan di mana-mana sahaja. Yang pasti segala yang terjadi, mengandungi suratan yang membuktikan kekuasaan Allah dalam merencana segala urusan hambanya dan alam semesta. Adakah kita pernah berfikir mengenai kejadian Allah? Tahukah kita dengan memikirkan kejadian Allah iman kita akan bertambah?

LU PIKIQ LA SENDIRI.

Baca selanjutnya......

SUKAR MENINGGALKAN DOSA


LUKMAN HAKIM melaporkan, pada suatu hari, seorang lelaki berjumpa dengan Nabi Muhammad. Katanya, “Wahai Rasulullah, saya mahu menganut agamamu. Aku percaya, agamamu sahaja yang dapat memandu aku ke jalan yang benar.”
Mendengar pengakuan itu, Nabi Muhammad pun mengajar lelaki itu mengucap dua khalimah syahadah. Sebaik sahaja dia mengucapkan kalimah suci itu, dia pun berkata kepada nabi, “Wahai Rasulullah, sebelum saya memeluk agamamu, saya sebenarnya sudah banyak melakukan dosa dan sukar sekali hendak meninggalkannya. Apakah pendapatmu, wahai Rasulullah?”
Nabi Muhammad bertanya, “Adakah saudara mahu berjanji kepadaku yang saudara sanggup bercakap benar dan tidak berbohong.”
Kemudian, lelaki itu pun pulang. Semasa dalam perjalanan pulang, lelaki itu berkata dalam hatinya, “Adakah saya mampu meninggalkan perkara yang dikehendaki Rasulullah?”
Menurut cerita yang dilaporkan oleh Lukman Hakim lagi, sebelum memeluk Islam, lelaki itu seorang yang suka mencuri, berjudi serta minum minuman keras. Apabila dia memeluk Islam, dia berusaha meninggalkan perbuatan kejinya itu.
Hampir setiap hari, hatinya diuji melakukan perbuatan yang tidak boleh ditinggalkan itu. Setiap kali mahu melakukannya, hati kecilnya mengejek.
“Bukankah kamu sudah berjanji berkata benar dan tidak berbohong?”
Setiap kali hatinya terdorong melakukan kejahatan, dia teringat pesan Nabi Muhammad dan hati kecilnya berbisik.
“Apabila aku berbohong bermakna aku mengkhianati janjiku kepadanya. Sebaliknya apabila aku bercakap benar dan melakukan kerja terkutuk itu, aku menerima hukumannya.”
Pada mulanya, dia sukar meninggalkan perbuatan yang sudah sekian lama dilakukan. Tetapi dengan pertolongan Allah, akhirnya lelaki itu berjaya menentang nafsu jahatnya.
Lama-kelamaan, dia mampu bertaubat dan tidak mengulangi lagi perbuatan kejinya. Akhirnya dia menjadi mukmin yang baik dan sentiasa patuh pada ajaran agama.


Sumber:31 KOLEKSI KISAH TELADAN UNTUK REMAJA
MOHD NASRUDDIN DASUKI

Coretan penulis.
Allah sentiasa membentangkan ruang untuk hambanya mengutus doa keinsafan atas ketelanjuran perbuatan. Tidak dapat dinafikan kadangkala terdetik di naluri kita untuk berubah dan menjadi mukmin sejadi yang dapat menghirup ‘halawatul iman’ ataupun kemanisan iman. Ia tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah Azza Wa Jal.Jadikan kita perlulah banyak mengusai doa taubat kepada Allah agar dibuka pintu rahmat dan keberkatan dalam hidup kita. Adakah kita bersungguh-sungguh untuk berubah? Adakah kita yakin akan pertolongan Allah?
LU PIKIQ LA SENDIRI.

Baca selanjutnya......

Search