salam perkenalan


Khamis, 31 Disember 2009

BALASAN MENINGGALKAN SEMBAHYANG


PADA SUATU HARI, seorang budak lelaki bertemu dengan Nabi Muhammad sambil menangis. Nabi terharu melihatnya lalu bertanyakepada anak itu, “Mengapakah kamu menangis, wahai ankku?”
Anak itu menjawab, “Ayahku meninggal dunia, tetapi tidak ada seorang pun yang menziarahinya. Tiada orang yang mahu memandikan serta menguruskan jenazahnya. Saya juga tidak mempunyai kain kafan, Ya Rasulullah.”
Mendengarkan cerita itu, Nabi Muhammad memerintahkan para sahabatnya menziarahi. Abu Bakar dan Umar pergi menziarahinya.
Apabila tiba di rumah budak lelaki itu, mereka mendapati jenazah itu bertukar menjadi babi hutan. Kemudian, Abu Bakar dan Umar pulang menyampaikan berita itu kepada Nabi Muhammad.
Mendengar khabar itu, nabi seolah-olah tidak percaya, “benarkah seperti apa yang kamu katakan itu?”
“Memang benar, wahai Rasulullah,”jawab Umar.
Kemudian Nabi Muhammad bersama-sama para sahabatnya pergi ke rumah budak yang menangis itu. Sampai sahaja di rumah itu, nabi berdoa kepada Allah supaya mengembalikan rupa jenazah kepada wajah asalnya.
Akhirnya, Allah memperkenankan doa utusannya. Jenazah itu bertukar menjadi manusia semula. Selepas itu,Nabi Muhammad menyembahyangkan jenazah itu. Beliau meminta sahabatnya supaya menyegerakan pengebumiannya.
Walaubagaimanapun, sekali lagi perkara pelik terjadi apabila jenazah mahu dikebumikan. Jenazah itu kembali menjadi babi hutan.
Lantas, Nabi Muhammad bertemu dengan budak lelaki itu lalu bertanya, “Apakah yang ayah kamu lakukan semasa hayatnya? Beritahulah supaya kita dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini?”
Budak lelaki itu menjawab, “Semasa hayatnya ayah saya tidak pernah mengejarkan sembahyang dan tidak pernah melakukan kebaikan.”
Mendengar jawapan itu, Nabi Muhammad berkata kepada para sahabat dan kepada anak si mati, “Lihatlah sendiriapa yang berlaku kepada orang yang meninggalkan sembahyang semasa hayatnya. Ia menjadi babi hutan pada hari Kiamat. Kepada sesiapa yang meninggalkan sembahyang, segeralah bertaubat dan beriman kepada Allah.”

Sumber:31 KOLEKSI KISAH TELADAN UNTUK REMAJA
MOHD NASRUDDIN DASUKI


Coretan penulis.
Kita sering dititipkan bahawa solat merupakan tiang agama yang perlu dijaga.Dalam hadis Rasulullah bersabda, “solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama”. Jadi adakah kita mahu wajah kita bertukar menjadi babi hutan di padang mahsyar kelak bahana meninggalkan solat? Adakah kita menjaga solat kita yakni tiang agama kita?

LU PIKIQ LA SENDIRI.

Baca selanjutnya......

BERSOPAN APABILA MENEGUR


KHALIFAH MAKMUN adalah pembaca khutbah yang tidak disenangi oleh para ulama dan golongan orang soleh. Boleh dikatakan , khalifah Makmun adalah pemerintah yang zalim dan ramai musuh. Tidak hairanlah ramai orang tidak berani menegurnya.
Pada suatu hari, Khalifah Makmun mengunjungi Kota Basrah untuk bersembahyang Jumaat di masjid tempat kelahiran Imam Hasan Basri.Apabila khutbah dibaca, pembaca khutbah menyebut namanya denagan cara tidak sopan. Walaubagaimanapun, Khalifah Makmun hanya menahan marahnya.
Pada minggu berikutnya, Khalifah Makmun menunaikan sembahyang Jumaat di masjid lain.Secara kebetulan, orang yang sama membaca khutbah. Dalam khutbah itu, khatib itu menyebut, “Pemerintah Khalifah Makmun adalah pemrintah yang zalim. Kita semua berdoa supaya beliau dilaknat oleh Allah.”
Selesai sembahyang Jumaat, khatib itu diperintahkan supaya berjumpa khalifah Makmun. Sebaik sahaj khatib itu menghadap, Khalifah Makmun bertanya, “Wahai tuan khatib, antara kamu dengan nabi Musa, siapakah yang lebih baik?”
Kemudian khatib itu menjawab, “Sudah tentu Nabi Musa lebih baik daripada saya.”
Kemudian Khalifah Makmun menyambung, “Saya juga berfikir begitu. Tetapi padapendapat kamu, siapakah yang lebih jahat antara saya dan Firaun?”
Khatib yang terkejut itu diam seketika lalu menjawab, “Sudah tentu Firaun lebih jahat daripada tuan.”
“Walaupun Firaun begitu jahat dan kejam, tetapi Tuhan memerintahkan Nabi Musa supaya berlemah lembutkepadanya. Bagaimana sekiranya tuan bacakan ayat itu untuk renungan bersama?” perintah Khalifah Makmun kepada khatib itu.
Pembaca Khutbah itu segera menjawab. Katanya, “Berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat dan takut.”
Kemudian, Khalifah Makmun terus berkata, “Jika begitu, bagaimana jika saya minta tuan menegur saya dengan cara yang sopan dan berlemah lembut kerana tuan tidaklah sebaik Nabi Musa dan saya tidaklah sejahat Firaun.”
Khatib yang rasa bersalah dan malu itu berkata, “Saya menyedari kesilapan saya. Saya bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatan saya. Saya akan berlemah lembut apabila menegur orang lain. Maafkan saya.”


Sumber:31 KOLEKSI KISAH TELADAN UNTUK REMAJA
MOHD NASRUDDIN DASUKI

Coretan penulis.
Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan dalam kehidupan. Sebagai umat pilihan yang disebut sebagai ‘khoiru ummah’ tegur-menegur adalah tanggungjawab setiap daripada kita yang bergelar muslim. Hal yang demikian bagi memastikan kesinambungan pembentukan akhlak yang jitu selembut desiran pawana dalam komuniti umat Islam. Namun harus diingatkan metod atau prakarsa dalam menegur haruslah secara berlemah lembut. Apakah pendekatan yang sering kita ambil untuk menegur seseorang? Secara kasarkah atau berlemah-lembut?


LU PIKIQ LA SENDIRI.

Baca selanjutnya......

BAHAGIAN DUA:BICARA TOKOH


Zaman khalifah Umar Abdul Aziz adalah berbeza tidak seperti zaman khalifah sebelumnya di mana masyarakat waktu itu sering membicarakan tentang pembangunan material dan keseronokan sesuai dengan kegemaran pemerintahan ketika itu.
Pada zaman khalifah Umar,masyarakat tidak lagi leka dengan kecenderungan maksiat tetapi kegiatan penduduk lebih terarah kepada kerja amal, memenuhi masjid dan pusat-pusat pengajian untuk mendalami ajaran agama serta menghiasi kehidupan harian dengan beribadah.
Pada waktu itu situasi orang berkumpul dan saling bertanya tentang doa-doa yang dipohon adalah lumrah.Mereka menjadikan pembacaan dan hafalan al-Quran serta berpuasa pada setiap bulan sebagai santapan rohani dan rutin.
Cahaya penyuluh yang terpancar itu telah meletakkan Islam di landasan yang sepatutnya,malah terus bersinar pada segenap lapisan selain berusaha untuk menghakis kegiatan segelintir penduduk yang masih tertanam oleh gaya hidup serta kemaksiatan peninggalan zaman sebelumnya.
Namun ada saki baki penduduk yang telah sebati dengan perlakuan sumbang dan maksiat itu merasa iri hati serta mendendami terhadap khalifah Umar yang telah memusnahkan segala kecenderungan mereka dan menutup peluang-peluang mereka untuk mengumpul harta kekayaan pada jalan yang haram seperti rasuah, perjudian dan sebagainya.
Demikian juga dasar khalifah Umar terhadap puak syiah. Jika sebelumnya peribadi Sayidina Ali selalu di caci dalam khutbah tetapi pada zaman beliau, Khalifah Umar Abdul Aziz telah menggantikan celaan itu dengan ayat al-Quran surah an-Nahlu ayat 90 yang bemaksud.”Sesungguhnya Allah menyuruh mengerjakan keadilan dan kebajikan serta memberi kaum kerabat serta Dia melarang perbuatan yang keji, mungkar dan aniaya.Moga-moga kamu mengambil ingatan.”
Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mengatakan ; “Saya mengingatkan kamu tentang malapetaka yang menimpa kamu sekiranya kamu tidak menuruti al-Quran. Pertumpahan darah dan huru-hara, kekacauan dan penderitaan yang kamu hadapi kerana tidak mengendahkan panduan yang diberikan oleh kitab perlulah direnungi. Oleh itu kamu harus berhenti daripada apa yang dilarang Tuhan dalam kitab-Nya kerana tidak ada apa yang lebih menakutkan daripada peringatan Allah Yang Maha Berkuasa.”
Demikian kita menyaksikan sebutir bintang mengerdip di tengah kelam, pada masa orang ramai kecewa dengan institusi khalifah dan sistem pemerintahan ketika itu. Umar Abdul Aziz muncul memberi semangat dan jiwa baru.Reformasi dan pembaharuan yang dilakukan olehnya tidak menyenangkan sebilangan kecil kerabatnya sendiri apatah lagi musuh-musuhnya sendiri yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memusnahkannya.
Setelah lebih dua tahun pemerintahannya, iaitu dalam usia 39 tahun beliau telah diracun dan kematiannya bukan sahaja telah diratapi oleh rakyat malah mengejutkan maharaja Rom yang begitu kagum dengan peribadi beliau sehingga maharaja Rom pernah menyatakan: “Aku tidaklah terkejut jika seorang rahib membuang dunia lalu menyibukkan dirinya dengan beribadat di belakang tabir ,tetapi aku sungguh kagum dengan Umar yang memiliki empayar besar dalam genggamannya tetapi menolaknya dan hidup sebagai rahib.”

Baca selanjutnya......

TIADA RUANG BERBUAT MAKSIAT


Seorang lelaki bernama Abu Zayed berjumpa dengan Ibrahim bin Adham bagi mengadu masalahnya. Katanya dia sukar mengelakkan dirinya daripada melakukan dosa. Dia sering terjebak dengan maksiat.
Mendengar keluhan itu, Ibrahim menjemput Abu Zayed ke dalam rumah. Beliau berkata “Apabila saudara bersedia menerima lima syarat dan dapat melaksanakannya, saudara boleh terus melakukan maksiat.”
Abu Zayed ternganga sambil berkata, “Ya Ibrahim, adakah benar begitu?Apakah syarat-syaratnya?”
Ibrahim mempelawanya duduk. Kemudian berkata, “Pertama, saudara tidak boleh makan rezeki pemberian Allah sekiranya mahu melakukan maksiat.”
Sambil menggaru-garu kepala, Abu Zayed berkata, “Mana mungkin. Semua yang ada di bumi ini adalah rezeki Allah!”
Lalu Ibrahim berkata lagi,”Bagus kerana saudara mengetahuinya. Adakah saudara fikir saudara layak memakan rezekinya sedangkan saudara terus melakukan maksiat?”
Abu Zayed diam seketika, kemudian bertanyakan syarat kedua.
“Syarat kedua, saudara tidak boleh tinggal di bumi ini apabila kamu berniat mahu melakukan maksiat!”tegas Ibrahim sambil memandang Abu Zayed.
Tersentak Abu Zayed mendengarnya.Dia berkata ,“Tidak mungkin,kerana seluruh bumi dan isinya adalah milik Allah.”
Ibrahim berkata lagi,”Apakah saudara layak tinggal di bumi apabila terus melakukan maksiat?”
Abu Zayed terdiam dan bertanyakan syarat ketiga.
Ibrahim pun menjawab, “Apabila saudara terus berbuat maksiat, mahu makan rezekinya, tinggal di buminya, carilah tempat yang tidak dapat dilihat olehnya.”
Abu Zayed terkejut, kemudian berkata, “Tidak mungkin, kerana Allah sentiasa melihat walau di mana kita bersembunyi. Adakah kita sanggup melakukan maksiat di depannya?”
“Baguslah saudara tahu semua itu. Lalu, adakah saudara masih berniat mahu melakukan maksiat?”tanya Ibrahim.
Abu Zayed terdiam. Dia menarik nafas panjang kerana ruang bagi melakukan maksiat sememangnya tertutup. Tetapi dia masih belum berpuas hati.
Abu Zayed bertanya lagi, “Jika begitu, baiklah.Apakah syarat keempat?”
“Syarat keempat, apabila malaikat mahu mencabut nyawamu, minta kepadanya supaya menangguhkannya kerana saudara bercadang untuk bertaubat dan beramal soleh,”kata Ibrahim.
Sebaik sahaja mendengar kata-kata Ibrahim, Abu Zayed menepuk dahi sambil berkata, “Tidak mungkin, wahai Ibrahim. Bukankah ajal maut tidak mungkin ditunda walaupun sesaat?”
Dia termenung seketika lalu bertanya, “Apakah syarat kelima pula?”
“Syarat terakhir, apabila Malaikat Zabaniyah menjemputmu untuk di bawa ke neraka pada hari kiamat, saudara jangan ikut kemahuannya!” kata Ibrahim.
Abu Zayed segera menjawab,“Saya tidak mungkin mampu menolaknya.”
“Jika begitu, apakah alasan yang dapat menyelamatkan diri saudara?”
Tanpa disangka, Abu Zayed menangis dan menyesal atas segala perbuatan buruknya. Dia berkata kepada Ibrahim, “Mulai saat ini, saya memohon ampun pada Allah dan bertaubat nasuha. Saya berjanji tidak akan melakukan maksiat lagi. Saya malu kepada Allah.”

Sumber:31 KOLEKSI KISAH TELADAN UNTUK REMAJA
MOHD NASRUDDIN DASUKI

Coretan penulis.
Tahun baru beberapa jam lagi akan menjengah tiba. Fenomena maksiat pasti akan berlaku di sana sini, di atas muka bumi Allah. Adakah kita mahu mengisi ambang 2010 ini, dengan bertahmid dan bertahlil memuji Allah ataupun melakukan maksiat hasil godaan syaitan laknatullah? Adakah kita layak mendiami bumi Allah sedangkan hati kita masih di penuhi maksiat kepada Allah? Diharapkan coretan ini dapat memberi pengajaran kepada pembaca.
LU PIKIQ LA SENDIRI.

Baca selanjutnya......

BAHAGIAN SATU:BICARA TOKOH


UMAR Abdul Aziz adalah seorang khalifah dan pemimpin terbaik selepas khalifah keempat. Beliau mempunyai sikap dan perwatakan yang sangat mempersonakan. Nilai keperibadiannya cukup tinggi dan mengagumkan. Sebaik memegang tampuk pemerintahan, Umar Abdul Aziz berusaha membersih diri dan keluarganya daripada unsur kemewahan hidup. Beliau juga telah mengutus surat pekeliling kepada gabenor wilayah antara lain yang berbunyi:

"Sesungguhnya Tuhan telah mengamanahkan tugas pentadbiran kepada saya. Saya tidak menerima tugas ini kerana kekayaan dan keseronokan., keraian, atau pakaian kerana Tuhan telah memberikan saya kekayaan yang hanya menjadi kemegahan sebilangan kecil orang. Saya menyedari sepenuhnya tugas berat yang diamanahkan kepada saya. Saya tahu saya akan dipanggil menghadap Allah di mana pihak yang menuntut akan hadir sama untuk membicarakan kes mereka pada hari pembalasan, hari yang membebankan kecuali bagi mereka yang dikasihi Alah dan mereka yang mendapat perlindunganNya.Saya perintahkan anda berhati-hati dan sentiasa takutkan Allah dalam semua urusan kerajaan yang diberikan kepada anda dan meminta anda berhenti daripada perbuatan yang dilarang oleh syariat. Anda patut memerhatikan diri dan perbuatab anda sendiri:cermat dalam perbuatan berhubung dengan Allahpada satu pihak dan orang sekeliling anda pada satu pihak yang ain. Anda harus menyedari bahawa keselamatan terkandung dalam penyerahan diri sepenuhnya kepada Yang Maha Kuasa dan matlamat akhir bagi semua usaha haruslah dengan cara yang sama membuat persediaan untuk memperoleh kejayaan pada hari kebangkitan."

BERSAMBUNG....

Baca selanjutnya......

Rabu, 30 Disember 2009

INSAF KERANA KATAK

PADA suatu masa dahulu,pada zaman Nabi Daud,seorang lelaki keluar dari rumah bertujuan mengabdikan diri kepada Tuhan. Dia pergi ke sebuah hutan yang sunyi kerana tidak mahu diganggu dan memudahkannya beribadat kepada Allah.

Lelaki itu mengasingkan diri sehingga setahun masa berlalu. Cukup setahun, dia berasa jemu kerana keadaannya tidak berubah.

Lalu dia berdoa kepada Tuhan,"Ya Allah, sudah puas aku mengabdikan diri kepadamu.Seluruh tubuhku terasa sakit dan sudah kering air mataku. Aku menangis keranamu, Ya Allah.Tetapi aku tidak tahu, apakah nasibku selepas ini?

Doa yang ditujukan kepada Allah itu didengari oleh katak yang berada tidak jauh dari situ. Allah memerintahkan katak itu menjawab pertanyaan lelaki itu.


Dengan izin Allah, katak itu pun bersuara. "Wahai tuan hamba, apakah yang kamu fikirkan dengan ibadah yang baru setahun itu? Adakah tuan tahu, saya sudah tinggal di hutan ini lebih daripada 60 tahun? Saya sering memuji dan berzikir kepada Allah."


Lelaki itu terkejut melihat katak itu sedang memandang ke arahnya. Dia terpaku seketika.


Kemudian, katak itu menyambung kata-katanya. "Adakah kamu mengira setahun itu sudah cukup bagi mengatakan kamu sudah beriman kepada Allah?"



Lelaki itu terdiam sejenak.



"Bagi aku, setahun itu sudah cukup lama, sedangkan aku masih juga begini?"kata lelaki itu.



Katak itu segera menjawab, "Aku sudah tinggal dalam hutan ini hampir 60 tahun. Aku tetap juga bertasbih dan bertahmid. Sehingga kini kakiku masih terasa gementar walaupun siang dan malam aku memuji-muji kebesaran Allah."



Sebaik sahaja mendengar kata-kata katak itu, lelaki itu menjawab, "Baru sekarang aku faham. Rupa-rupanya, aku sudah tersalah sangka. Sudah hampir 60 tahun kamu beribadah kepada Tuhan sedangkan aku baru genap setahun."



"Bertaubatlah kamu,"kata katak itu lagi.



"Ya Allah, sesungguhnya aku bertaubat dan menyesal di atas ketelanjuranku. Ampunkan segala dosaku," kata lelaki itu sambil menangis tersedu-sedu menyesali perbuatannya. Dia berasa malu dengan katak itu.



Sumber : 31 KOLEKSI KISAH TELADAN UNTUK REMAJA.
MOHD NASRUDDIN DASUKKI



Sesungguhnya semua makhluk Allah di bumi dan langit memuji-muji dan bertahmid akan kebesaran Allah tanpa rasa jemu. Adakah kita sudah jemu dan letih melakukan pengabdian kepada Allah?

LU PIKIQ LA SENDIRI.

Baca selanjutnya......

Search